Tayangan Perdana Filem Pendek Dato Sagor : Maruah Di Bumi Perak
Pada 29 Ogos 2025, Pengerusi Persatuan Warisan Dato' Sagor, YBhg. Dato’ Abu Hasan Ashaari bin Alang Jaman, bersama beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan telah menghadiri majlis tayangan perdana filem pendek bertajuk Dato' Sagor: Maruah di Bumi Perak yang berlangsung di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perak. Majlis berkenaan turut diseri dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran beberapa orang pelakon serta warga kerja produksi filem tersebut.

Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga serta merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak produksi—khususnya Haz Production dan Hilmi Azmin (FDAM)—atas usaha gigih mengangkat sejarah dan perjuangan tokoh pahlawan Perak ini ke layar perak
Sebagai waris generasi ke-4 Dato' Sagor, beliau turut menzahirkan harapan agar anak cucu serta generasi pembawa warisan selepas ini sentiasa berasa bangga dengan darah keturunan dan sejarah pahlawan mereka. Beliau menyeru agar semangat juang nenek moyang diteruskan dengan penuh iltizam dalam mempertahankan kesucian agama, kedaulatan bangsa, dan ibu pertiwi.
